Kuala Lumpur - Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan berita mengikut nilainya serta memberi liputan kepada pihak pembangkang bergantung kepada kepentingan sesuatu isu, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Heng Seai Kie.
Beliau berkata, program dan berita yang disiarkan stesen itu berdasarkan kriteria penentu nilai berita iaitu berkepentingan negara, kesemasaan, kepentingan kemanusiaan dan perkara yang menjadi perhatian umum.
“Sebenarnya liputan RTM adalah berkait rapat dengan peranan utama RTM sendiri sebagai media rasmi kerajaan, ia agak berbeza dengan siaran televisyen swasta di mana kita mempunyai jawatankuasa pengurusan isu untuk menangani perkara ini dalam menentukan nilai sesuatu berita,” katanya menjawab soalan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Heng berkata, RTM sentiasa membuat pembaharuan khususnya daripada segi penyampaian berita dan rancangan berbentuk maklumat bagi menyebar luaskan maklumat dan menarik minat orang ramai menonton program siarannya.
“RTM juga membuat liputan berita yang berorientasikan aktiviti masyarakat dan nilai kemanusiaan serta perkembangan semasa di serata dunia,” katanya.
Beliau berkata dalam mengendalikan maklumat dan berita, RTM sentiasa berusaha membuat penambahbaikan dengan menggunakan kepakaran dalaman di samping kepakaran daripada institusi pengajian tinggi untuk meningkatkan mutu penyampaian berita.
“Kita juga berusaha mencari personaliti baru penyampai berita yang lebih berwibawa dan berketrampilan dengan melibatkan pelbagai kaum supaya program RTM lebih menggambarkan 1Malaysia,” katanya.
Heng berkata, RTM juga membuat liputan yang menyeluruh dengan turut menyampaikan berita mengenai pihak pembangkang bergantung sama ada isu itu mempunyai kepentingan terhadap rakyat atau tidak.
“RTM meliputi semua pihak sama ada Barisan Nasional (BN) atau bukan, misalnya di Parlimen, dan kita juga membuat liputan perhimpunan agung Pas baru-baru ini," katanya.
Read More......
Sunday, June 21, 2009
Subscribe to:
Comments (Atom)

