Friday, April 17, 2009

Rombakan besar RTM

KUALA LUMPUR - Barisan kepimpinan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal mengalami rombakan besar-besaran dengan sekurang-kurangnya dua pegawai kanan organisasi tersebut mungkin ditukar.

Kosmo! difahamkan, mendahului pertukaran ialah Ketua Setiausaha kementerian itu yang kini disandang Datuk Kamaruddin Siaraf (gambar) yang bakal digantikan oleh pegawai kanan wanita dari Kementerian Kewangan.

Menurut sumber, antara nama yang disebut-sebut ialah Datuk Zalekha Hassan yang kini Timbalan Ketua Setiausaha di Kementerian Kewangan.

Selain itu, kedudukan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) kementerian itu yang kini disandang oleh Datuk Azmi Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Dr. Rothiah Omar juga dikatakan akan berubah.

Ia dipercayai ada kaitan dengan penggabungan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan Kementerian Penerangan menjadi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dipercayai sudah membuat penilaian terhadap prestasi jabatan tersebut dan dijangka mengumumkan keputusan rombakan itu dalam masa terdekat.

"Sudah pasti akan ada perubahan kerana peranan kementerian ini semakin mencabar," kata sumber tersebut kepada Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan pengesahan daripada Rais gagal apabila beliau enggan memberikan sebarang ulasan.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya juga tidak mahu mengulas rombakan tersebut.

Semalam Kosmo! melaporkan tentang keputusan RTM meminda kembali slot berita utamanya, Nasional@1 daripada 9 malam kepada 8 malam mulai Isnin ini berikutan kejatuhan rating selepas kehilangan hampir 400,000 penonton.

Comments :

have 0 comments at “Rombakan besar RTM”

Post a Comment